Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail Al-Khalidi [1][2][3][4][5][γ][δ] (Tulisan Jawi: سلطان إسكندر الحاج إبن المرحوم سلطان إسماعيل ; 8 April 1932 – 22 Januari 2010) merupakan Yang di-Pertuan Agong yang kelapan mulai 26 April 1984 hingga 25 April 1989.[ε] Baginda mewarisi takhta ayahandanya Sultan Sir Ismail Sultan Sir Ibrahim untuk menjadi Sultan Johor ke-23 berikutan kemangkatan ayahandanya pada tahun 1981. Pemerintahan Sultan Iskandar berlangsung selama hampir 29 tahun sehingga kemangkatannya pada 22 Januari 2010, di mana beliau digantikan oleh anakanda sulungnya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Anakandanya telah berkahwin dengan kerabat diraja Malaysia yang berbeza. Anak sulung Baginda, Tunku Kamariah, Tengku Puan Laksamana, berkahwin dengan Tengku Laksamana dari Selangor, Tengku Sulaiman Shah. Anak pengganti dan sulungnya, Sultan Ibrahim berkahwin dengan seorang anggota Keluarga Diraja Perak, Raja Zarith Sofiah. Anak perempuannya, Tunku Azizah berkahwin dengan pewaris takhta Pahang, Tengku Abdullah. Anak lelakinya, Tunku Abdul Majid berkahwin dengan seorang anggota Keluarga Diraja Kedah, Tunku Teh Mazni.
Seperti nendanya Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar,[6] kebebasan buah fikiran Sultan Iskandar adakalanya menimbulkan ketegangan hubungan dengan kerajaan persekutuan Malaysia, lebih-lebih lagi ketika bertakhta Yang di-Pertuan Agong,[7] ketika baginda sendiri terlibat dalam beberapa peristiwa yang menarik perhatian awam.[8]
Bagaimanapun, ada pihak yang mendapati Sultan Iskandar bersifat panas baran,[9][10] dengan merujuk kepada catatan peristiwa pahit sepanjang hayat baginda,[11] termasuk dilucutkan pangkat Tunku Mahkota oleh ayahandanya pada tahun 1961, di samping beberapa tindakan jenayah yang berlaku dari 1970-an hingga 1990-an yang tersiar dalam akhbar sehingga memarahkan orang awam.[12][13]
Sewaktu muda dahulu, Tunku Iskandar lebih dikenali dengan nama beriannya iaitu "Mahmood"[14][15][γ] atau nama penuhnya "Mahmood Iskandar". Sungguhpun, nama "Mahmood" itu tidak dipakai lagi semenjak baginda naik takhta pada tahun 1981,[16][ζ] namun sesetengah pihak masih memanggil nama penuh "Mahmood Iskandar" sekali-sekala.[17]